Monday, November 15, 2010

Al-Quran : Bagaimana Pendirian Sunni dan Shiah

Klik di sini untuk memuat turun assingment mengenai isu ini..

Al-Quran merupakan rujukan utama bagi seluruh umat Islam. Walaupun telah diketahui bahawa umat Islam terbahagi kepada pelbagai puak, tetapi yang pastinya kesemuanya berpegang dan berkeyakinan bahawa sumber utama bagi kehidupan manusia adalah adalah al-Quran dan kemudiannya diikuti oleh al-Hadith daripada junjungan mulia Rasulullah. Namun yang berbezanya adalah persepsi dan pendirian setiap puak dalam menilai dan menganggapi al-Quran dari sudut-sudut tertentu, yang menyebabkan kesulitan untuk mengelakkan ketidak fahaman. Antara aspek-aspek yang mewujudkan perbezaan bagi setiap puak mengenai persepsi terhadap al-Quran adalah tentang kesempurnaan dan kekurangan al-Quran, penafsiran al-Quran, qiraat al-Quran dan dakwaan mengenai pengubahsuaian yang telah berlaku terhadap al-Quran atau teori Tahrif al-Quran.

Kesemua aspek yang disebutkan ini menimbulkan persepsi yang berbeza oleh setiap puak umat Islam. Namun, persepsi yang jelas berbeza kelihatan adalah dari pandangan puak Sunni dan Shiah. Sudah sedia maklum bahawa banyak pihak yang cuba mengutarakan saranan agar kedua-dua ini bersatu dan duduk bersama-sama bermusyawarah membincangkan permasalahan umat yang timbul pada masa kini, terutamanya isu pencerobohan negara Islam Palestin oleh puak Zionis. Namun, perbezaan persepsi terhadap al-Quran ini memperlihatkan bahawa usaha penyatuan kedua-dua puak ini hampir pasti tidak akan terjadi. Justeru, perbincangan kali ini akan menumpukan kepada persepsi Sunni dan Shiah terhadap al-Quran berserta dengan hujah masing-masing. Dalam mengenal pasti persepsi-persepsi kedua-dua puak ini, rujukan adalah berdasarkan kepada karya dan tulisan tokoh-tokoh bagi puak masing-masing dan juga tulisan sarjana-sarjana Barat yang berlatar belakang orientalis bagi menambahkan lagi maklumat-maklumat yang berkaitan dengan perbincangan ini.

Ketidak samaan persepsi terhadap al-Quran menjadi salah satu faktor utama yang menghalang perpaduan antara Sunni dan Shiah dalam masyarakat Islam. Persepsi yang berbeza ini seterusnya bukan sahaja membantutkan usaha perpaduan bahkan juga menimbulkan permusuhan dan perdebatan yang tiada kesudahan antara kedua-dua puak ini. Namun, ketidak sefahaman ini tidak seharusnya menjadi punca perpecahan yang besar dalam masyarakat Islam dunia. Oleh yang demikian, pendekatan terbaik yang harus dilakukan oleh kedua-dua puak ini adalah bersifat sederhana dan pertengahan bagi menamatkan perpecahan yang berlarutan sejak zaman permulaan Islam ini.

Namun, walaupun setiap pihak perlu bersikap sederhana, kebenaran yang hakiki perlu dicungkil dan diketengahkan kepada masyarakat Islam bahkan kepada seluruh masyarakat dunia bagi menjelaskan sebarang kekaburan dan membetulkan segala kekeliruan mengenai Islam yang sebenar. Al-Quran perlu dinilai dan dilihat dengan persepsi yang tepat kerana autoritinya yang paling tinggi sebagai sumber utama dalam mencapai kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Justeru, setiap umat Islam seharusnya bersikap peka dan sensitif terhadap setiap persepsi dan dakwaan yang dilemparkan terhadap al-Quran supaya sebarang pendustaan dapat ditolak ke tepi seterusnya mempertahankan kesucian al-Quran.

Sehubungan itu, bukan sahaja dakwaan-dakwaan berkenaan al-Quran sahaja yang perlu ditapis dan diteliti bahkan juga semua aspek berkenaan akidah, fiqh, hadith dan sebagainya. Pemahaman dan pengetahuan yang salah berkenaan Islam yang sebenar inilah yang akan menyebabkan agama Islam dimusuhi dan diperangi oleh orang bukan islam. Oleh yang demikian, segala salah faham berkenaan ajaran Islam yang sebenar perlu dilakukan di peringkat akar umbi sendiri kerana jika pada persoalan usul lagi sudah tidak sehaluan apatah lagi di peringkat furu’. Semoga kebenaran dan kebatilan mengenai Islam dapat disebarkan kepada seluruh masyarakat dunia khususnya kepada umat Islam keseluruhannya.


No comments:

Post a Comment