Monday, November 15, 2010

Akhlak & Keterampilan Diri

KLIK untuk memuat turun assigment mengenai isu ini.

Manusia adalah makhluk yang telah dipilih oleh Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Amanah sebagai khalifah di muka bumi bukanlah suatu perkara yang kecil kerana segala yang berlaku sama ada baik mahupun buruk di atas muka bumi ini adalah hasil daripada tindak-tanduk manusia sendiri. Setiap manusia perlu sedar bahawa segala kerosakan yang telah berlaku di atas muka bumi selama ini seperti bencana tsunami pada tahun 2004 yang lalu adalah berpunca daripada kesilapan manusia sendiri. Begitu juga dengan peningkatan suhu dunia juga berpunca daripada tindakan manusia sendiri yang terlalu mengejar pembangunan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sebagaimana yang telah diamanahkan oleh Allah.

Kemudian, kita melihat pula kepada masalah-masalah yang wujud di kalangan umat Islam, khususnya di dalam negara kita sendiri. Masalah sosial, ketidak adilan ekonomi dan pecah amanah di kalangan pemimpin tertinggi negara merupakan masalah yang timbul hasil daripada kesilapan manusia itu sendiri. Kalau manusia sentiasa ingat dan merenung tanggung betapa beratnya tanggungjawab mereka sebagai manusia di muka bumi, pasti segala kerosakan dapat dielakkan. Selain tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi, setiap manusia dipertanggungjawabkan juga untuk urusan-urusan yang lebih khusus, seperti tanggungjawab sebagai seorang ibu, bapa, guru, pelajar, pekerja, pendakwah, penceramah dan segala tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam kehidupan seharian.

Justeru, bagi menyempurnakan segala tanggungjawab tersebut dengan jayanya, setiap manusia harus mempunyai keterampilan diri yang tinggi dan juga dihiasi dengan akhlak-akhlak yang mulia. Ketiadaan keterampilan diri dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab akan membawa kepada kegagalan dalam menyempurnakan sesuatu tanggungjawab.

Berbicara mengenai keterampilan diri, setiap manusia mempunyai keterampilan diri masing-masing. Bagi seorang pemimpin, sebagai orang yang paling utama dalam sesebuah organisasi atau kedudukan sosial, dia perlu menampilkan keterampilan diri yang tinggi agar orang-orang di bawah pimpinannya sentiasa memberi sokongan terhadap dirinya, dan yakin bahawa di bawah pimpinannya, pengurusan dan pentadbiran organisasi tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan teratur. Oleh sebab itu, keterampilan diri adalah satu aspek penting yang perlu ada bagi setiap manusia agar segala tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Begitu juga keadaannya bagi setiap manusia yang mempunyai tanggungjawab masing-masing. Bagi seorang pendakwah pula, keterampilan diri yang tinggi dalam menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat. Dakwah perlu disampaikan dengan penuh berhikmah, yakni dengan menggunakan pendekatan yang terbaik bersesuaian dengan keadaan masyarakat yang didakwah itu. Dalam menyampaikan dakwah kepada orang bukan Islam, pendekatan yang perlu dilakukan adalah dengan memperjelaskan konsep akidah yang asas dahulu, bukan dengan terus memperkatakan mengenai perkara-perkara cabang dalam agama Islam. Pendekatan sebegini perlu dilakukan supaya mereka tidak terkejut dengan perkara yang baru dalam kehidupan mereka. Inilah yang dikatakan keterampilan diri itu, yakni melakukan sesuatu tanggungjawab dengan penuh kecekapan, keyakinan dan keberkesanan.

Namun, keterampilan diri yang tinggi sahaja tanpa dihiasi dengan akhlak-akhlak terpuji adalah satu konsep yang bertentangan dengan Islam. Menurut ahli tasawuf, hakikat manusia adalah akhlak, yakni harta yang paling bernilai dalam diri manusia adalah akhlak yang mulia. Justeru, keterampilan diri yang tinggi perlu dihiasi dengan akhlak yang terpuji. Melalui keperluan kedua-dua ini, yakni keterampilan diri dan kemuliaan akhlak, jelas menunjukkan bahawa Islam tidak sesekali menuntut umatnya untuk meninggalkan urusan dunia, kerana ingin mengejar akhirat seperti agama-agama lain yang menuntut umatnya menjauhi segala urusan dunia.

No comments:

Post a Comment