Monday, November 15, 2010

Akhlak & Keterampilan Diri

KLIK untuk memuat turun assigment mengenai isu ini.

Manusia adalah makhluk yang telah dipilih oleh Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Amanah sebagai khalifah di muka bumi bukanlah suatu perkara yang kecil kerana segala yang berlaku sama ada baik mahupun buruk di atas muka bumi ini adalah hasil daripada tindak-tanduk manusia sendiri. Setiap manusia perlu sedar bahawa segala kerosakan yang telah berlaku di atas muka bumi selama ini seperti bencana tsunami pada tahun 2004 yang lalu adalah berpunca daripada kesilapan manusia sendiri. Begitu juga dengan peningkatan suhu dunia juga berpunca daripada tindakan manusia sendiri yang terlalu mengejar pembangunan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sebagaimana yang telah diamanahkan oleh Allah.

Kemudian, kita melihat pula kepada masalah-masalah yang wujud di kalangan umat Islam, khususnya di dalam negara kita sendiri. Masalah sosial, ketidak adilan ekonomi dan pecah amanah di kalangan pemimpin tertinggi negara merupakan masalah yang timbul hasil daripada kesilapan manusia itu sendiri. Kalau manusia sentiasa ingat dan merenung tanggung betapa beratnya tanggungjawab mereka sebagai manusia di muka bumi, pasti segala kerosakan dapat dielakkan. Selain tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi, setiap manusia dipertanggungjawabkan juga untuk urusan-urusan yang lebih khusus, seperti tanggungjawab sebagai seorang ibu, bapa, guru, pelajar, pekerja, pendakwah, penceramah dan segala tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam kehidupan seharian.

Justeru, bagi menyempurnakan segala tanggungjawab tersebut dengan jayanya, setiap manusia harus mempunyai keterampilan diri yang tinggi dan juga dihiasi dengan akhlak-akhlak yang mulia. Ketiadaan keterampilan diri dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab akan membawa kepada kegagalan dalam menyempurnakan sesuatu tanggungjawab.

Berbicara mengenai keterampilan diri, setiap manusia mempunyai keterampilan diri masing-masing. Bagi seorang pemimpin, sebagai orang yang paling utama dalam sesebuah organisasi atau kedudukan sosial, dia perlu menampilkan keterampilan diri yang tinggi agar orang-orang di bawah pimpinannya sentiasa memberi sokongan terhadap dirinya, dan yakin bahawa di bawah pimpinannya, pengurusan dan pentadbiran organisasi tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan teratur. Oleh sebab itu, keterampilan diri adalah satu aspek penting yang perlu ada bagi setiap manusia agar segala tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Begitu juga keadaannya bagi setiap manusia yang mempunyai tanggungjawab masing-masing. Bagi seorang pendakwah pula, keterampilan diri yang tinggi dalam menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat. Dakwah perlu disampaikan dengan penuh berhikmah, yakni dengan menggunakan pendekatan yang terbaik bersesuaian dengan keadaan masyarakat yang didakwah itu. Dalam menyampaikan dakwah kepada orang bukan Islam, pendekatan yang perlu dilakukan adalah dengan memperjelaskan konsep akidah yang asas dahulu, bukan dengan terus memperkatakan mengenai perkara-perkara cabang dalam agama Islam. Pendekatan sebegini perlu dilakukan supaya mereka tidak terkejut dengan perkara yang baru dalam kehidupan mereka. Inilah yang dikatakan keterampilan diri itu, yakni melakukan sesuatu tanggungjawab dengan penuh kecekapan, keyakinan dan keberkesanan.

Namun, keterampilan diri yang tinggi sahaja tanpa dihiasi dengan akhlak-akhlak terpuji adalah satu konsep yang bertentangan dengan Islam. Menurut ahli tasawuf, hakikat manusia adalah akhlak, yakni harta yang paling bernilai dalam diri manusia adalah akhlak yang mulia. Justeru, keterampilan diri yang tinggi perlu dihiasi dengan akhlak yang terpuji. Melalui keperluan kedua-dua ini, yakni keterampilan diri dan kemuliaan akhlak, jelas menunjukkan bahawa Islam tidak sesekali menuntut umatnya untuk meninggalkan urusan dunia, kerana ingin mengejar akhirat seperti agama-agama lain yang menuntut umatnya menjauhi segala urusan dunia.

Isteri-isteri Rasulullah : Antara Kontroversi & Rasional

KLIK untuk memuat turun assignment mengenai isu ini.

Akhir-akhir ini kita banyak mendengar dan melihat tulisan-tulisan yang menyerang perihal perkahwinan dan poligami yang diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W., baik dari orang-orang Barat mahupun dari orang-orang Islam sendiri yang tidak mempunyai latar belakang agama yang mantap serta mereka yang digelar sebagai pendokong Islam Liberal. Mereka cuba menunjukkan kehandalan dalam menulis tentang peribadi Rasulullah. Namun di dalam tulisan mereka termuat tuduhan-tuduhan berkaitan peribadi baginda yang tidak tepat dan menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam khususnya dari kalangan ulama’ yang sudah makruf di sisi masyarakat sebagai pakar dalam menafsirkan al-Quran dan al-Hadith. Serangan ini kemudiannya disambung oleh penulis-penulis lain dan menyiarkannya di dada akhbar di sesetengah negara umat Islam sehingga mencetuskan pertempuran berdarah antara umat Islam dan penganut agama lain.

Lebih menyedihkan ialah tulisan-tulisan yang dikemukakan adalah dipetik dari musuh-musuh Islam yang sememangnya anti-Islam dan juga dari kalangan pendokong fahaman sekular dan liberal yang tidak mahu melihat Islam tegak di buminya sendiri. Ada juga tuduhan yang mengatakan bahawa Rasulullah mempunyai hubungan sulit dengan seorang hamba wanita yang bernama Raihanah.

Melihat kepada bentuk serangan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap perkahwinan dan poligami Rasulullah, ternayata ia adalah merupakan satu bentuk perancangan musuh untuk menjatuhka kedudukan baginda sebagai seorang Rasul yang maksum dan pembawa risalah terakhir untuk seluruh umat manusia. Maka dalam kesempatan ini, perbincangan akan tertumpu kepada fakta-fakta mengenai jumlah sebenar isteri-isteri Rasulullah, sejarah ringkas mereka, dan kontroversi-kontroversi yang menimpa perkahwinan dan poligami baginda. Turut perbincangkan juga mengenai rasional dan hikmah di sebalik perkahwinan tersebut dan juga jawapan-jawapan bagi menangkis tuduhan-tuduhan musuh Islam terhadap baginda Rasulullah.

Al-Quran : Bagaimana Pendirian Sunni dan Shiah

Klik di sini untuk memuat turun assingment mengenai isu ini..

Al-Quran merupakan rujukan utama bagi seluruh umat Islam. Walaupun telah diketahui bahawa umat Islam terbahagi kepada pelbagai puak, tetapi yang pastinya kesemuanya berpegang dan berkeyakinan bahawa sumber utama bagi kehidupan manusia adalah adalah al-Quran dan kemudiannya diikuti oleh al-Hadith daripada junjungan mulia Rasulullah. Namun yang berbezanya adalah persepsi dan pendirian setiap puak dalam menilai dan menganggapi al-Quran dari sudut-sudut tertentu, yang menyebabkan kesulitan untuk mengelakkan ketidak fahaman. Antara aspek-aspek yang mewujudkan perbezaan bagi setiap puak mengenai persepsi terhadap al-Quran adalah tentang kesempurnaan dan kekurangan al-Quran, penafsiran al-Quran, qiraat al-Quran dan dakwaan mengenai pengubahsuaian yang telah berlaku terhadap al-Quran atau teori Tahrif al-Quran.

Kesemua aspek yang disebutkan ini menimbulkan persepsi yang berbeza oleh setiap puak umat Islam. Namun, persepsi yang jelas berbeza kelihatan adalah dari pandangan puak Sunni dan Shiah. Sudah sedia maklum bahawa banyak pihak yang cuba mengutarakan saranan agar kedua-dua ini bersatu dan duduk bersama-sama bermusyawarah membincangkan permasalahan umat yang timbul pada masa kini, terutamanya isu pencerobohan negara Islam Palestin oleh puak Zionis. Namun, perbezaan persepsi terhadap al-Quran ini memperlihatkan bahawa usaha penyatuan kedua-dua puak ini hampir pasti tidak akan terjadi. Justeru, perbincangan kali ini akan menumpukan kepada persepsi Sunni dan Shiah terhadap al-Quran berserta dengan hujah masing-masing. Dalam mengenal pasti persepsi-persepsi kedua-dua puak ini, rujukan adalah berdasarkan kepada karya dan tulisan tokoh-tokoh bagi puak masing-masing dan juga tulisan sarjana-sarjana Barat yang berlatar belakang orientalis bagi menambahkan lagi maklumat-maklumat yang berkaitan dengan perbincangan ini.

Ketidak samaan persepsi terhadap al-Quran menjadi salah satu faktor utama yang menghalang perpaduan antara Sunni dan Shiah dalam masyarakat Islam. Persepsi yang berbeza ini seterusnya bukan sahaja membantutkan usaha perpaduan bahkan juga menimbulkan permusuhan dan perdebatan yang tiada kesudahan antara kedua-dua puak ini. Namun, ketidak sefahaman ini tidak seharusnya menjadi punca perpecahan yang besar dalam masyarakat Islam dunia. Oleh yang demikian, pendekatan terbaik yang harus dilakukan oleh kedua-dua puak ini adalah bersifat sederhana dan pertengahan bagi menamatkan perpecahan yang berlarutan sejak zaman permulaan Islam ini.

Namun, walaupun setiap pihak perlu bersikap sederhana, kebenaran yang hakiki perlu dicungkil dan diketengahkan kepada masyarakat Islam bahkan kepada seluruh masyarakat dunia bagi menjelaskan sebarang kekaburan dan membetulkan segala kekeliruan mengenai Islam yang sebenar. Al-Quran perlu dinilai dan dilihat dengan persepsi yang tepat kerana autoritinya yang paling tinggi sebagai sumber utama dalam mencapai kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Justeru, setiap umat Islam seharusnya bersikap peka dan sensitif terhadap setiap persepsi dan dakwaan yang dilemparkan terhadap al-Quran supaya sebarang pendustaan dapat ditolak ke tepi seterusnya mempertahankan kesucian al-Quran.

Sehubungan itu, bukan sahaja dakwaan-dakwaan berkenaan al-Quran sahaja yang perlu ditapis dan diteliti bahkan juga semua aspek berkenaan akidah, fiqh, hadith dan sebagainya. Pemahaman dan pengetahuan yang salah berkenaan Islam yang sebenar inilah yang akan menyebabkan agama Islam dimusuhi dan diperangi oleh orang bukan islam. Oleh yang demikian, segala salah faham berkenaan ajaran Islam yang sebenar perlu dilakukan di peringkat akar umbi sendiri kerana jika pada persoalan usul lagi sudah tidak sehaluan apatah lagi di peringkat furu’. Semoga kebenaran dan kebatilan mengenai Islam dapat disebarkan kepada seluruh masyarakat dunia khususnya kepada umat Islam keseluruhannya.